Perkhidmatan Azam memuaskan – Anwar

PUTRAJAYA 15 Mei –  Perkhidmatan yang memuaskan mendorong pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau  berkata, Azam yang mula dilantik meneraju suruhanjaya itu ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah menjalankan tugas dan mengambil tindakan tanpa memilih puak atau parti.

“Dia dilantik oleh Perdana Menteri masa Pagoh (Muhyiddin) dan walaupun ada isu dibangkitkan dahulu, dari segi kerja saya tengok, saya bagi kelonggaran dan wewenang sepenuhnya kepada SPRM serta Peguam Negara untuk menjalankan tugas.

“Setakat saya lihat, mereka menjalankan tugas dengan memuaskan, dia (Azam) ambil tindakan tanpa memilih puak atau parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini, hari ini.

Anwar berkata, Azam menjalankan tugasnya dengan baik serta tidak memihak sehingga ada pejabat menteri turut digeledah untuk membantu siasatan.

“Belum pernah dalam sejarah umpamanya, pejabat-pejabat menteri juga digeledah dan dikenal pasti mengenai tindakan pegawai-pegawai serta terus mengambil tindakan sementara siasatan dijalankan.

“Jadi atas kapasiti itu, kita teruskan khidmat beliau,” katanya.

Azam dilantik semula Jumaat lalu (12 Mei) untuk tempoh selama setahun dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Azam yang sudah berkhidmat selama 36 tahun dengan SPRM memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984 dan kemudiannya menjadi Pengarah Perisikan pada 2013.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Siasatan pada 2015, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 2016, dan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya menggantikan Latheefa Koya.

Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan beliau memperoleh Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia, Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana dari Universiti e Asia.

Related posts

Leave a Comment