“Saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti”

PUTRAJAYA 15 Mei – Dr Mahathir Mohamad mengulangi cabaran terhadap  Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menunjukkan bukti yang beliau telah menyalah guna kuasa untuk kayakan dirinya dan keluarga.

“Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar “mat retorik”,” kata bekas Perdana Menteri itu melalui Facebooknya hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri yang sedia menyambut cabaran Dr Mahathir berkait isu mengisytiharkan harta dimilikinya sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri antara 1993 hingga 1998.

Perdana Menteri menegaskan, beliau sememangnya sudah pun mengisytiharkan harta secara terbuka dan maklumat itu diketahui umum, berbanding bekas mentornya itu yang didakwanya belum pernah berbuat demikian.

Dr. Mahathir berkata, beliau juga telah mengisytiharkan harta beberapa kali semasa menjadi Perdana Menteri dan ini juga menjadi pengetahuan umum.

“Tidak ada apa yang perlu saya sorok.Yang jadi masalah ialah Anwar telah beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan semasa saya jadi Perdana Menteri untuk kayakan diri saya dan keluarga saya.

“Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu,” katanya.

Menurut Dr Mahathir beliau meminta Perdana Menteri tunjuk bukti salah guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarganya atau beliau akan mengambil tindakan mahkamah.

“Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya. Dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti.

“Maka saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti yang saya salah guna kuasa untuk kayakan diri saya dan keluarga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment