Dewan Merdeka WTC lakar sejarah

KONVENSYEN Kerajaan Perpaduan semalam (14 Mei 2023) bukan sahaja mencatatkan sejarah kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tetapi juga merekodkan sejarah tersendiri kepada parti-parti politik lain termasuk UMNO.

Bagi Anwar, pidatonya kembali bergema di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), selepas kali terakhir beliau berucap di situ atas pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 1997, 26 tahun lalu.

Anwar kali pertama berucap di Dewan Merdeka WTCKL (dulu Pusat Dagangan Dunia Putra – PWTC) selepas pemecatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 yang membawa kepada penubuhan PKR.

Dewan Merdeka, menjadi saksi perpaduan 19 parti politik termasuk yang menyertai gabungan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Lebih meyakinkan apabila UMNO yang menjadi tuan rumah konvensyen telah diiktiraf sebagai parti di mana pemimpinnya, Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan merealisasikan Kerajaan Perpaduan.

UMNO sememangnya layak mendapat pengiktirafan itu. Tanpa Ahmad Zahid, suasana pentadbiran hari ini pasti berbeza termasuk kedudukan Anwar.

Selain pengiktirafan oleh Anwar, pimpinan sayap UMNO sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri juga memberi komitmen terhadap rakan-rakan mereka yang dulu lawan tetapi kini kawan untuk melupakan kisah lama supaya kerjasama itu berterusan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh misalnya berlapang dada melupakan ‘permusuhan’ lama dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim yang pernah menurunkan bendera bekas pemimpin UMNO.

“Pengalaman kita sebelum ini dengan Adam Adli, …walaupun Adam Adli pernah datang ke kita turunkan bendera dan marahnya kita ketika itu.

“Rasa masa itu, (kalau) jumpa Adam Adli nak siat-siat mukanya tapi inilah kehebatan yang direncanakan Allah, bila kita bersama Adam Adli (sekarang) hilang rasa marah tengok beliau,” katanya.

Lebih membanggakan apabila Dr Muhamad Akmal memohon maaf secara terbuka selepas mengkritik keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk tiga dari Amanah bagi menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

Di Dewan Merdeka, pimpinan UMNO membuktikan mereka berlapang dada dan bersedia bersama rakan-rakan dalam PH untuk terus menerajui negara ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kini bukan masa mengungkit kisah silam.

Semalam, UMNO sudah melupakan laungan ‘No Anwar, No DAP, No PKR’ yang pernah bergema di Dewan Merdeka itu sebaliknya di pentas yang sama, wakil-wakil DAP dan PKR hadir berucap buat pertama kali di pentas itu dalam sejarah politik mereka.

Kata Ketua Wanita DAP, Chong Eng : “Ini bangunan yang saya pertama kali masuk, dulu kita lawan, sekarang kita kawan demi Malaysia yang lebih baik,”.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, mengakui beliau tidak pernah menjejakkan kaki di WTC, lokasi Perhimpunan Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Ini memang suatu hari yang sangat bersejarah, pada Hari Ibu, kita berkumpul. Semua faham mengapa kita ada di sini. Kita datang dari negeri dan latar belakang keturunan berlainan, tapi kita adalah warga Malaysia,” katanya.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengakui beliau agak gugup dan memerlukan nota untuk berucap, tidak seperti kebiasaan beliau berucap di pentas lain sebelum ini.

“Semasa saya menceburi politik dan menyertai parti saya, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa satu hari nanti, saya akan berdiri dan berucap di Dewan Merdeka, WTC.

“Saya rasa tiada sesiapa daripada parti saya yang pernah terlintas dalam fikiran mereka, termasuk Gobind (Singh Deo) (Timbalan Pengerusi DAP),” katanya.

Bagaimanapun mendiang Karpal Singh sebagai Pengerusi DAP ketika itu pernah ‘berazam’ untuk mengadakan Kongres Kebangsaan DAP pada suatu masa nanti di PWTC (WTC).

“Objektif utama kami ialah untuk menawan dan mengadakan kongres kami di PWTC,” kata Karpal Singh ketika berucap merasmikan Kongres Kebangsaan DAP ke-15.

Semalam, anak mendiang malahan rakan-rakan anggota DAP sudah pun berada di Dewan Merdeka, WTC walaupun bukan kongres tetapi wakil-wakil DAP berucap di pentas Konvensyen Kerajaan Perpaduan.

Menariknya, Gobind seperti mendiang bapanya dalam ucapan menyebut ‘kawan-kawan’, merujuk khalayak yang sedang mendengar ucapan.

Dan tidak mustahil, atas nama Kerajaan Perpaduan, Kongres DAP akan berlangsung di sini pada suatu hari nanti. Hari ini, tiada parti politik yang pemimpinnya sudah menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka.

Related posts

Leave a Comment