KUALA LUMPUR 10 Mei – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia hari ini mengadakan pertemuan dengan empat pemimpin ASEAN bagi membincangkan hubungan dan kerjasama dua hala.
Dalam kenyataan di Facebooknya, beliau memaklumkan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan menyampaikan hasrat melihat pembabitan Bandar Seri Begawan dalam Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) tahun ini yang mana Putrajaya menjadi tuan rumah.
“Selain itu, diskusi juga terarah kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara,” katanya.
Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan menyatakan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Perbincangan turut menyentuh mengenai bidang pelaburan selain berharap isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani dengan tegas.
“Saya sempat mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Laos, Sonexay Siphandone dan kami sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur,” katanya.
Beliau juga mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Timor Leste, Taur Matan Ruak dan Anwar mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN.
Anwar berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri Timor Leste itu juga menyentuh keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.
