PUTRAJAYA 18 April. – Mulai esok sehingga Jumaat ini dan 24 April, kerajaan mengecualikan pembayaran tol di 33 lebuh raya utama negara sempena sambutan Aidilfitri, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya, pemberian tol Rahmah percuma selama empat hari itu adalah untuk semua pengguna jalan raya.
Anwar berkata, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih, juga bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
Bercakap pada sidang media, Anwar berkata, langjah itu antara ikhtiar bagi menghargai sumbangan pengusaha Menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang memberi manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.
