Faham dulu apa fungsi ‘Super App’

JOHOR BAHRU 18 April – Isu penjualan tiket penerbangan yang mulanya dikatakan mahal kini beralih kepada pertikaian jualan tiket dua syarikat penerbangan negara, MAS dan AirAsia menerusi Super App.

Bekas Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong, membangkitkan persoalan bagaimana tiket penerbangan MAS boleh dijual menerusi Super App sekiranya syarikat penerbangan itu mempunyai polisi tidak membenarkannya.

Beliau berkata, ramai pengguna menggunakan aplikasi pihak ketiga atau Super App bagi membandingkan harga untuk mendapatkan tawaran terbaik.

Justeru Ahli Parlimen Ayer Hitam itu meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke faham apa fungsi ‘Super App’ yang sebenarnya bertujuan memudahkan orang ramai untuk membuat perbandingan harga.

“Contohnya, apabila saya ke luar negara, saya gunakan Agoda atau Booking.com untuk membuat tempahan hotel. Tidak perlu saya cari ‘website’ hotel satu persatu. Itu adalah fungsi Super App yang saya maksudkan.

“Apabila saya melihat dalam Super App ada tawaran RM3,138 untuk (penerbangan) kelas ekonomi, saya rasa macam tidak kena. Apa dosa saya. Saya bawa perkara ini untuk perhatian dan diselesaikan oleh MOT (Kementerian Pengangkutan),” katanya melalui video di Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan Loke bahawa Super App tidak mendapat tauliah daripada MAS, dan tidak boleh menjual tiket yang sah.

“Ini lagi saya pelik. Kalau tidak boleh pakai (Super App), maklum kepada rakyat, kita harus lindungi pengguna, minta tidak gunakan lagi Super App,” katanya

Sementara itu, Ka Siong turut meminta Loke dan Kementerian Pengangkutan supaya menyelesaikan isu utama berkenaan harga tiket penerbangan musim perayaan yang mahal.

“Kita perlu selesaikan isu pokok. Tak perlu nak sindir saya, saya hanya jurucakap rakyat. Biar sindir saya jika rakyat mendapat manfaat. Terima kasih kepada syarikat penerbangan yang telah mula menurunkan harga tambang. Inilah pentingnya kita bangkitkan isu sebegini.

“Jika tidak, rakyat terpaksa mengeluarkan belanja yang membebankan,” katanya.

Semalam, Loke menafikan dakwaan kononnya harga tiket kelas ekonomi untuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini, mencecah RM3,138.

Beliau dilaporkan berkata, semua tiket Kelas Ekonomi untuk penerbangan pada tarikh berkenaan, sudah habis dijual, sebaliknya tiket yang sedang dijual, membabitkan Kelas Perniagaan.

Loke memberitahu, Malaysia Airlines sudah menjual sebanyak 78 peratus kerusi untuk musim perayaan pada harga RM209 ke RM841 untuk kelas ekonomi manakala AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap berharga RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Aidilfitri.

Ahli Parlimen Seremban itu mennyindir Ka Siong kerana memilih untuk menggunakan aplikasi AirAsia untuk membeli tiket penerbangan Malaysia Airlines, meskipun syarikat itu sudah pun mempunyai aplikasi sendiri.

“Beliau takkan tak tahu bahawa Malaysia Airlines ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket Malaysia Airlines, mengapa guna aplikasi AirAsia?

“Ini macam hendak beli KFC tetapi pergi ke McDonald’s, jadi ini tidak masuk akal,” katanya .

Related posts

Leave a Comment