34,643 pencarum KWSP layak FSA2

KUALA LUMPUR 15 April – Hampir separuh daripada 74,392 permohonan yang diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), layak mendapatkan kemudahan itu.

KWSP memberitahu, sebanyak 34,643 pemohon layak, mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan jumlah RM722 juta, setakat semalam.

Fasiliti ini disediakan bagi membolehkan ahli KWSP membuat permohonan awal di bawah Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi ini adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum RM3,000 dan maksimum RM50,000.

“Ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN dan setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

“Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank,” katanya.

Amir Hamzah berkata, amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli, apabila ahli mencapai umur antara 50 dan 55 tahun, mengikut pilihan ahli.

KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih dengan pelancaran BSN MyRinggit Insan-i semalam.

“Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong FSA2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan mengenai kekeliruan dalam kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini.

” Fasiliti  ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan.

“Ia untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.

“Perlu diingatkan bahawa, bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment