Pertahan institusi masjid daripada politik

MELAKA 5 April –  Umat Islam diingatkan supaya terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak sehingga membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika mengingatkan demikian bertitah, masjid perlu menjadi institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati, sekali gus menjadi contoh kepada agama-agama lain.

“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah-belah…nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan.

Saya akan sentiasa ingatkan khususnya di Pahang masjid tak boleh dicampuri unsur-unsur politik waima siapa sekali pun,” titah baginda pada majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di Bachang, di sini, hari ini.

Hadir sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Al-Sultan Abdullah turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menguruskan lawatan Seri Paduka ke negeri berkenaan sebelum ini.

“Hari ini saya mengucapkan terima kasih di atas setiap persiapan (untuk menyambut keberangkatan tiba). Saya menghargai usaha dicurahkan Sulaiman.

“Hari ini begitu besar erti kepada saya dan keluarga dapat hadir (ke Melaka). Kali ketiga sejak 2019. Dalam masa tiga, empat tahun ini saya dapat kenal tiga Ketua Menteri seperti mana saya berpengalaman di Kuala Lumpur dengan empat Perdana Menteri.

“Ini adalah satu sejarah bagi saya dan keluarga dan sudah tentu ini akan tercatit dalam sanubari dan ingatan saya selepas saya pulang ke Pahang nanti,” titah Seri Paduka.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta mengurniakan sumbangan kepada 100 penerima.

Seri Paduka berdua juga berkenan solat Maghrib berjemaah bersama rakyat jelata.

 

Related posts

Leave a Comment