RUU PSB: Kemuka penambahbaikan bukan dakwaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pihak yang membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025, perlu mengemukakan syor untuk penambahbaikan bukan membuat pelbagai dakwaan.

Beliau mengakui kemungkinan wujud beberapa kelemahan tetapi ia bukanlah alasan untuk pihak tertentu membantahnya dengan dakwaan kerajaan mahu merampas rumah rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.

“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di sini, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.

“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU PSB 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah). Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.

Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional nilai ambang dalam RUU PSB 2025 untuk pembangunan semula bandar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menempelak sikap segelintir pihak yang cuba mewujudkan persepsi kononnya RUU PSB 2025 bertujuan untuk memecahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu.

“(Ada pihak) bimbang takut syarikat Cina ambil alih semua hak kawasan Melayu.

Saya hendak tanya, sejak kita ambil alih kerajaan, dengan penyertaan DAP (dalam Kerajaan Perpaduan), kawasan mana yang kita serah (kepada bukan Melayu),”

katanya menjawab soalan tambahan Hamzah Zainuddin (PN-Larut) ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menegaskan beliau bukanlah boneka kepada mana-mana pihak untuk memecahkan demografi majoriti Melayu, malah tidak akan sesekali membenarkan keadaan itu berlaku selagi diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negara.

Puluhan tahun, kerajaan mana yang serah tanah (milik) Melayu kepada Cina… kerajaan mana yang sanggup dan berani sejak 1957 beri tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur.

“Kita yang bagi (tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur) dan tiada bangkangan, ada persetujuan dalam Jemaah Menteri. Ini antaranya perumahan rakyat,” katanya

Beliau turut mempersoal pendirian Perikatan Nasional (PN) mengenai pembangunan semula rumah kos rendah serta projek perumahan ketika menerajui pentadbiran negara sebelum ini.

“Saya mahu tanya dalam 33 bulan (pentadbiran PN) ada tak cadangan bangunkan rumah kos rendah… ada tak cadangan projek perumahan.

“Ada cadangan sebenarnya, saya tengok menteri terdahulu ada cadangan sama, pembangunan semula bandar dan kini (apabila Kerajaan MADANI) buat (pembangkang) tunjuk perasaan, menentang.

“Saya mahu tahu mana satu (pendirian menteri perumahan terdahulu)… kalau betul dia setuju dan ada beberapa kelemahan, betulkan tetapi jangan menentang (RUU PSB 2025).

“Orang kata kita mahu dukung golongan kaya, lihat semua projek diluluskan di Kuala Lumpur sekarang, mana yang boleh kita katakan hanya memihak kepada golongan kaya?

“Semuanya (dilengkapi) syarat sekolah vertikal, rumah rakyat. Ini kita letakkan syarat. Tidak umpamanya tambah satu tingkat, komisen RM5 juta. Ini tak diizinkan sama sekali,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment