Laporan nahas ‘Double Six’ minggu depan

PUTRAJAYA 5 April – Laporan penuh berhubung nahas udara ‘Double Six’ membabitkan pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan ramai pemimpin utama Sabah akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya minggu depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan laporan itu akan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan berikutan keputusan kerajaan menyahklasifikasikan laporan itu.

“Selama ini, kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan (laporan ini) di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Hari ini, Jemaah Menteri mengambil pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat waris serta selari dengan dasar keterbukaan diamalkan Kerajaan Perpaduan, kita putuskan untuk nyahklasifikasi laporan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini diminta mempertimbangkan untuk mendedahkan hasil siasatan mengenai tragedi nahas terbabit atau lebih dikenali ‘Double Six’ bagi meleraikan keraguan berhubung insiden yang berlaku 47 tahun lalu itu.

Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Mohammad Fuad Stephens, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki beliau bersama rombongan beberapa anggota Kabinet negeri terhempas di perairan Sembulan.

“Ini menjadi suatu isu panas di Sabah yang begitu lama, terkait dengan siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air dan isu ini menimbulkan banyak persoalan serta keresahan.

“Saya tak percaya bahawa penemuan fakta yang menjadi kepentingan kepada keluarga, negeri dan orang awam perlu disimpan di sebalik Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Pada 6 Jun 1976, Fuad menaiki pesawat GAF Nomad buatan Australia dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika ia menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

Turut terbunuh, Dr Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).

Fuad maut selepas 44 hari pelantikannya sebagai  Ketua Menteri Sabah buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum pada 1976 apabila Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) yang diterajuinya membentuk kerajaan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Related posts

Leave a Comment