Kes demam denggi meningkat

PUTRAJAYA 31 Mac – Kes denam denggi menunjukkan peningkatan sebanyak 18,098 kes atau 222.8 peratus sejak awal tahun ini berbanding bagi tempoh sama tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 26,222 kes demam denggi dilaporkan berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Berikutan peningkatan itu, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi diaktifkan semula dan satu mesyuarat diadakan pada Selasa lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, dalam tempoh yang sama, sebanyak 17 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian.

Menurut Dr. Noor Hisham, sejumlah 2,469 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-12 tahun ini dengan satu kematian berbanding 2,151 kes minggu sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 318 kes atau 14.8 peratus.

Selain itu, sebanyak 81 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 91 lokaliti pada minggu sebelumnya, yang mana 52 lokaliti hotspot di Selangor, Pulau Pinang (15), Sabah (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4), Putrajaya (4), Perak (3) dan Kedah (1).

Sementara itu survelan chikungunya merekodkan sebanyak satu kes pada minggu ke-12 dan jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 107 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 600 sampel darah dan empat sampel urin sudah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dr Noor Hisham berkata, berikutan peningkatan itu, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi diaktifkan semula dan satu mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri diadakan pada Selasa lalu.

Jawatankuasa ini membabitkan 12 kementerian, semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta Jabatan Wilayah Persekutuan dalam penentuan dasar dan strategi pencegahan dan kawalan denggi di negara ini.

Beliau berharap setiap lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab dan bertindak secara proaktif dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat ketika ini.

Katanya , pemimpin setempat, Jawatankuasa Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB), ahli Rukun Tetangga atau pihak berwajib diminta menggerakkan komuniti untuk melakukan aktiviti memusnahkan pembiakan nyamuk Aedes secara berjadual.

Begitu juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta digalakkan untuk menyokong inisiatif kawalan dan pencegahan secara berjadual serta bergotong-royong bagi membersihkan persekitaran premis.

Related posts

Leave a Comment