Delegasi AS tinggalkan mesyuarat di PBB

NEW YORK – Delegasi Amerika Syarikat (AS) meninggalkan mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika wakil Perancis mengambil giliran berucap dalam perbincangan mengenai perang Rusia-Ukraine.

Tindakan itu susulan pertikaian diplomatik yang memuncak antara Washington dan Paris berhubung pelantikan Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Turk dilantik semula selepas menerima sokongan majoriti negara anggota Perhimpunan Agung PBB, dengan 144 negara mengundi menyokong, 10 menentang dan 13 berkecuali.

Terdahulu AS menentang pembaharuan penggal empat tahun Turk, manakala Perancis menyokong pelantikan semula pegawai berkenaan.

Misi Perancis ke PBB di Geneva sebelum ini mengkritik pendirian Washington dengan mendakwa AS tidak lagi menjadi contoh dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan kini berada dalam kedudukan yang semakin terpencil di pentas antarabangsa.

Duta AS ke PBB, Mike Waltz, bagaimanapun mendakwa Turk sering mengkritik negara demokrasi seperti AS, United Kingdom dan Israel, namun kurang tegas terhadap rejim yang dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Selepas insiden keluar dewan itu, wakil alternatif AS ke PBB, Dan Negrea, berkata delegasinya akan terus mengambil tindakan serupa selagi Perancis tidak menghentikan apa yang disifatkannya sebagai kenyataan berbaur merendahkan dan tidak menghormati negara lain.

Sementara itu, Duta Perancis ke PBB, Jerome Bonnafont, tidak menyentuh mengenai tindakan delegasi AS ketika berucap.

Sebaliknya, beliau menegaskan Perancis akan terus menyokong kebebasan institusi PBB dan memastikan organisasi antarabangsa itu mampu melaksanakan tugasnya secara berkesan.

Turk sebelum ini pernah mengkritik beberapa tindakan yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk yang melibatkan Israel dan AS di Palestin serta Iran.

Sejak kembali memegang jawatan pada 2025, pentadbiran Presiden Donald Trump mengambil beberapa langkah yang mengurangkan penglibatan AS dalam institusi antarabangsa, termasuk mengurangkan pembiayaan kepada beberapa agensi PBB dan menarik diri daripada pelbagai badan di bawah organisasi tersebut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment