Banjir : Dua PPS terakhir ditutup

JOHOR BAHRU 26 Mac – Bencana banjir di Johor sejak 28 Februari lalu berakhir secara rasmi tengah hari ini apabila 141 mangsa banjir yang berlindung lebih empat minggu di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang pukul 12 tengah hari ini.

Berikutan itu dua PPS terakhir ditutup iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan yang menempatkan 62 mangsa daripada 15 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Yong Peng mempunyai 79 mangsa daripada 22 keluarga.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit terutama anggota penyelamat, agensi awam dan swasta, sukarelawan.

Begitu juga rakan media yang sama berganding bahu membuat laporan ketika Johor berdepan bencana bah sejak 28 Februari lalu.

Banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, hampir dua kali ganda banyaknya daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini.

Hujan selama dua hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan, sekali gus menyebabkan bencana besar antara terburuk pernah dialami Johor sejak 1986 dan 2006.

Related posts

Leave a Comment