Mangsa banjir Batu Pahat 253 orang

JOHOR BAHRU 25 Mac – Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat setakat pukul 8 pagi ini berkurangan kepada 253 orang (64 keluarga) yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata jumlah itu menurun berbanding 369 orang (105 keluarga) pada semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, sebuah PPS ditutup iaitu di Sekolah Agama Seri Bertam yang menempatkan enam orang daripada satu keluarga.

Katanya , ke semua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas kawasan kediaman mereka di Kampung Haji Khamisan, Taman Selatan, Kampung Parit Lapis Terus dan Kampung Haji Mian pulih dari banjir.

Penurunan jumlah mangsa juga dicatatkan di empat PPS yang masih beroperasi.

Sementara itu dalam kenyataannya, beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh Johor dan cuaca seluruh negeri ini adalah cerah.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lembangan sungai Bekok di Batu Pahat mencatatkan paras amaran iaitu 18.96 berbanding aras bahaya 19.20.

Menurut Azmi, terdapat tiga jalan masih ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu dua jalan di Kluang dan satu di Kulai.

Katanya, di Kluang, Jalan Lingkaran Kahang Barat ditutup akibat cerun runtuh dan Jalan GSA/Chamek akibat jambatan rosak manakala di Kulai Jalan Ulu Tebrau – Sungai Tiram ditutup kerana cerun runtuh.

Related posts

Leave a Comment