Keadaan banjir Batu Pahat makin pulih

JOHOR BAHRU 24 Mac – Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat, daerah paling teruk terjejas, turun kepada 419 orang daripada 113 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 444 orang (124 keluarga), pada malam tadi.

Mereka ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS), ketika keadaan semakin pulih.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, dalam kenyataannya berkata tiada PPS ditutup walaupun jumlah mangsa berkurangan di PPS yang masih beroperasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat di seluruh Johor.

Bagaimanapun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lembangan sungai Bekok di Batu Pahat mencatatkan paras amaran iaitu 19.01 meter (m) berbanding aras bahaya 19.20m.

Azmi berkata, terdapat tiga jalan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu dua jalan di Kluang dan satu di Kulai.

Dua jalan di Kluang iaitu Jalan Lingkaran Kahang Barat akibat cerun runtuh dan Jalan GSA/Chamek akibat jambatan rosak sementara satu jalan di Kulai yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram kerana cerun runtuh.

Related posts

Leave a Comment