Tiada keperluan kantin sekolah ditutup

KUALA LUMPUR 22 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan operasi kantin diteruskan seperti biasa pada Ramadan walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak ramai di sesebuah sekolah itu, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Katanya, tiada keperluan untuk kantin ditutup kerana tidak mahu wujud lagi senario pelajar makan di dalam stor atau di tepi longkang.

“Yang kita hendak tegaskan ialah soal keperluan kita menyantuni kanak-kanak bukan Islam walaupun dalam bulan Ramadan… kerana ini adalah Kerajaan Madani, kerajaan inklusif, yang mana kedua-dua pihak perlu saling menghormati.

“Mereka yang berpuasa kena santuni yang tidak berpuasa, yang tidak berpuasa kena belajar menghormati mereka yang berpuasa.

Justeru, saya menyarankan pengusaha kantin untuk terus buka kerana ada kanak-kanak di sekolah rendah yang tidak wajib lagi berpuasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2023, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu (L), di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa, dilaporkan berkata tidak wajar semua kantin sekolah beroperasi pada Ramadan kerana ada sekolah yang mempunyai pelajar bukan Islam tidak ramai, iaitu kurang 10 peratus.

Ini kerana jika kantin sekolah dibuka, pengusahanya perlu menanggung kos pengoperasian yang tidak boleh ditampung nilai jualan diperoleh.

Fadhlina berkata, semua pihak perlu menjadi inklusif serta saling menghormati budaya dan agama satu sama lain.

“Oleh itu, tidak ada keperluan untuk (kantin sekolah) tutup. Saya sarankan terus buka dan (pengusaha kantin) berbincang dengan pihak sekolah sebab saya pasti ada juga kanak-kanak Muslim yang tidak berpuasa pada awal umur,” katanya.

Related posts

Leave a Comment