JOHOR BAHRU 21 Mac – Mangsa banjir di Batu Pahat terus turun kepada 6,740 orang daripada 1,923 keluarga, setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 7,972 orang (2,299 keluarga) pada malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Johor, Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata kesemua mereka masih berlindung 43 pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam tempoh yang sama, empat PPS di Batu Pahat telah ditutup, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam, Felcra Seri Wangi dan Sekolah Agama Kangkar Merlimau.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata lapiran Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran bagi semua daerah di Johor.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air tiga lembangan sungai di Batu Pahat masih berada pada tahap amaran, membabitkan Empangan Bekok yang juga sublembangan Sungai Bekok dengan bacaan 19.20 meter (m), Empangan Sembrong (Sungai Sembrong) 12m dan Sungai Senggarang di Senggarang 3.50m.
Lima jalan di Batu Pahat masih ditutup akibat banjir tetapi dibuka untuk kenderaan berat saja, iaitu Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo; dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal.
