KUALA LUMPUR 14 Mac – Selebriti Datin Anne Ngasri, 38, yang memperoleh undi tertinggi pada pemilihan Exco Pergerakan Wanita UMNO bertekad mahu memantapkan wadah perjuangannya melalui parti keramat itu menerusi tiga prinsip utama.
Katanya, tiga prinsip itu adalah setia bersama barisan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, kedua cekal memulihkan “nyawa” parti keramat dengan perjuangan yang ikhlas, sabar dalam berbakti serta bertindak dengan wajar.
Prinsip ketiga adalah mempertahankan kedudukan dan maruah parti demi jasa yang dicurahkan bagi mengangkat anak bangsa dan pengorbanan untuk menegakkan agama.
“Semoga perjuangan saya ini dirahmati Allah SWT..Ikhlas hati demi agama, bangsa dan negara tercinta,” kata Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri melalui hantaran di Facebooknya semalam.
Beliau yang memperoleh 159 undi turut bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan terhadapnya dalam pemilihan itu.
“Dengan tawaduk dan rendah diri, saya bersyukur kerana dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar Exco Wanita UMNO Malaysia bagi 2023 – 2026.
“Terima kasih Ya Allah.. terima kasih buat keluarga dan kekanda-kekanda yang saya hormati dari seluruh Malaysia yang telah mempercayai dan menyokong hasrat suci ini,” katanya.
Sementara itu berada di kedudukan kedua adalah anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
“Terima kasih kepada 146 bahagian yang telah memberikan mandat kepada saya sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia melalui Pemilihan Wanita UMNO 2023-2026 pada 11 Mac 2023,” katanya melalui Facebooknya.
Di kedudukan ketiga adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani, Kedah Wan Mohalina Wan Mohammad yang memperoleh 108 undi
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah pula memperoleh 107 undi dan kelima adalah Ketua Wanita UMNO bahagian Seremban Datuk Latteffah Aliyaru Kunju yang memperoleh 105 undi.
