SEMENANJUNG GAZA, Palestin: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, terkejut dengan serangan maut dilancarkan Israel ke atas ambulans berhampiran hospital terbesar di Gaza, semalam.
Tedros berkata, beliau amat terperanjat membaca laporan bedilan ke atas ambulans yang membawa pesakit berdekatan Hospital Al-Shifa sehingga mengakibatkan kematian, kecederaan dan kerosakan.
“Kami mengulangi: pesakit, petugas kesihatan, kemudahan dan ambulans mesti dilindungi setiap masa. Sentiasa,” katanya melalui media sosial X.
Kerajaan Hamas berkata, tentera Israel membedil sebuah konvoi ambulans yang sedang membawa pesakit mengalami kecederaan dari Gaza City ke arah Rafah di selatan wilayah itu.
Kementerian Kesihatan di Gaza mengumumkan ‘sejumlah orang awam terkorban dan puluhan lagi cedera dalam bedilan Israel di pintu masuk Hospital Al-Shifa.’
Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings turut menzahirkan ‘amat terganggu’ dengan insiden serangan itu yang berlaku ketika pesakit dipindahkan untuk mencari tempat selamat.
Tentera Israel mendakwa serangan udara itu dilancarkan ke atas ambulans yang dikenal pasti oleh pasukannya sebagai digunakan oleh pejuang Hamas.
Bagaimanapun Kerajaan Hamas di Gaza berkata serangan Israel mengenai konvoi ambulans, yang menurut kementerian kesihatan membunuh ramai orang berhampiran hospital terbesar di wilayah itu.
Kerajaan berkata tentera Israel menyasarkan “konvoi ambulans yang membawa mangsa cedera” dari Gaza City ke Rafah di selatan
Menurut WHO, Hospital Al-Shifa menghadapi kesesakan yang teruk, dengan kadar penghunian katil sebanyak 164 peratus.
Kira-kira 16 hospital di seluruh Gaza tidak lagi berfungsi kerana kerosakan akibat serangan dan kekurangan bahan api, kata kementerian kesihatan.
Rabu lalu, WHO memberi amaran kekurangan bahan api “dengan serta-merta membahayakan nyawa” pesakit yang cedera dan lain-lain.
Lebih 23,500 orang cedera di seluruh Gaza dalam empat minggu perang, kata kementerian kesihatan, manakala jumlah kematian melebihi 9,200.
