Mangsa banjir di Johor berkurangan

JOHOR BAHRU 7 Mac – Jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 40,129 orang daripada 11,210 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata dua daerah terjejas mencatatkan peningkatan, empat berkurangan, manakala tiga lagi kekal.

Batu Pahat dan Muar menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding malam tadi iaitu di Batu Pahat bertambah kepada 22,209 orang (6,219 keluarga) di 76 PPS, manakala Muar meningkat kepada 5,094 orang (1,222 keluarga) di 23 PPS.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, empat daerah lain menunjukkan penurunan iaitu di Tangkak, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

Di Tangkak, jumlah mangsa banjir kini berkurang kepada 2,584 orang daripada 796 keluarga di 22 PPS; di Segamat beransur pulih dan kini tinggal 4,036 mangsa (991 keluarga) di 45 PPS; di Kluang pula berkurangan kepada 2,591 orang (707 keluarga) di 20 PPS dan di Kota Tinggi tinggal 1,754 mangsa banjir (502 keluarga) di 13 PPS.

Beliau berkata, Mersing, Johor Bahru dan Pontian pula kekal dengan jumlah mangsa banjir sama pada jam 8 malam tadi.

Katanya, Mersing masih dengan jumlah mangsa banjir seramai 1,164 mangsa (348 keluarga) di enam PPS; Pontian pula 150 mangsa (39 keluarga) di empat PPS dan Johor Bahru dengan 38 mangsa banjir (38 keluarga) di sebuah PPS.

Azmi juga memaklumkan terdapat tambahan satu kes kematian membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun yang dilaporkan mati lemas dalam daerah Mersing, malam tadi menjadikan korban banjir di Johor mencecah lima orang.

Related posts

Leave a Comment