Tunggu laporan Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menegaskan pihaknya perlu menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara berhubung status empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang mengumumkan keluar parti baru-baru ini.

Beliau berkata, ini kerana keputusan muktamad mengenai perkara itu terletak kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya (perlu) tunggu laporan rasmi dan pandangan undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara. Kedua, saya rasa dalam Perkara 49A (Perlembagaan Persekutuan), keputusan muktamad adalah terletak kepada Speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.

Bagaimanapun, dalam pindaan Perlembagaan itu (berkaitan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau Akta A1663, diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian, jadi ia di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan ‘Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind’ di sini, hari ini.

Empat anggota Parlimen yang mengumumkan keluar Bersatu kelmarin adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Related posts

Leave a Comment