JOHOR BAHRU 5 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menggerakkan tiga aset milik baginda, ‘air boat’ berkuasa tinggi bagi operasi menyelamat, memindah serta membantu mangsa yang terjejas banjir di negeri ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Johor, ‘air boat’ berkenaan yang dikemudi oleh Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim memulakan perjalanan dari Jeti Gersik, Muar menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gombang yang menempatkan 47 keluarga, hari ini.
Tunku Abu Bakar kemudian ke lokasi kedua iaitu Jeti Galeri Darurat Bukit Kepong sebelum berkenan menyampaikan bantuan makanan di PPS SK Bukit Kepong yang menempatkan 42 keluarga, selain turut meluangkan masa meninjau keadaan lokasi yang terjejas banjir sepanjang perjalanan, meskipun dalam keadaan hujan.
Semalam, ‘air boat’ berkenaan yang juga dikemudi oleh Tunku Abu Bakar turut digunakan dalam penghantaran makanan ke Kampung Orang Asli Pucur, Kahang di Kluang selepas penempatan mereka dinaiki air.
Perjalanan itu mengambil masa hampir 40 minit dengan menyusuri Sungai Kahang dalam keadaan hujan lebat sebelum menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada mangsa terbabit.
(Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
