Petugas UNRWA terbunuh, 3 cedera

GAZA – Seorang petugas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya UNRWA Christian Saunders yang berdukacita atas kematian petugas agensi itu berkata, serangan itu berlaku berhampiran lokasi mereka bekerja di Jabalia, Gaza. 

Menurut UNRWA menerusi platform media sosial X, mereka sedang menjalankan tugas rutin di sebuah telaga air bagi menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat setempat.

Agensi itu memberitahu, jumlah petugas UNRWA dan individu lain yang menyokong operasinya yang terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza  meningkat kepada 397 orang.

Justeru UNRWA turut menggesa supaya pekerja kemanusiaan dilindungi pada setiap masa.

Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 74,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 176,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu.

Related posts

Leave a Comment