3,083 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 10 Ogos – Sebanyak 3,083 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, lebih tinggi berbanding kelmarin dengan 2,728 kes menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,714,498 kes.

Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu, tiga daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Turut menunjukkan peningkatan ialah kes kematian akibat jangkitan berkenaan dengan 12 kes dilaporkan dan tiga daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sehingga kini, jumlah angka korban yang dilaporkan adalah sebanyak 36,044 kes dan daripada jumlah itu 7,659 kes adalah kematian sebelum sempat bantuan perubatan dapat diberikan.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan 42,717 kes, dengan 41,042 atau 96.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Sejumlah 35 pesakit berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), dengan 1,578 pesakit ditempatkan di hospital serta 62 pesakit lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana 35 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai kes sembuh, setakat semalam, sebanyak 4,229 kes pulih direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh wabak berkenaan adalah 4,635,737 kes.

Related posts

Leave a Comment