PUTRAJAYA 4 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan penurunan dengan merekodkan 204 kes termasuk empat kes import berbanding 244 kelmarin.
Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,043,456 yang meliputi 5,004,765 kes tempatan dan 38,691 kes import.
Berbanding lima kematian kelmarin, tiada kematian baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini kekal 36,965 orang termasuk 7,876 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Sementara itu, jumlah kes aktif turun sedikit kepada 9,247 semalam, penurunan sembilan kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,909 kes atau 96.3 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 332 pesakit atau 3.6 peratus mendapat rawatan di hospital, enam daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana satu kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 213 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,997,244 orang.
Bagi kes harian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 61 kes berbanding 81 kes kelmarin dan Selangor 59 kes berbanding 76 sebelumnya manakala Perlis dan Terengganu tiada merekodkan sebarang kes baharu.
