Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara, hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj.

Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 November 2022 lepas yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan  Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat, Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Hadir sama, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Hadir sama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Related posts

Leave a Comment