71 % pencarum KWSP tidak cukup dana bersara

KUALA LUMPUR 23 Feb. –  Sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi jumlah dana tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata situasi itu berlaku susulan empat pengeluaran khas KWSP – i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas ketika pandemik Covid-19.

Justeru, KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat sehingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

“Empat pengeluaran khas ini menyebabkan penurunan yang ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun lalu,” katanya melalui jawapan bertulis, di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan  Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendirian kerajaan terhadap pengeluaran wang KWSPsebagai langkah bantuan kewangan.

Bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuhi cabaran dan impak akibat pandemik Covid-19, kemudahan pengeluaran sebelum ini memanfaatkan seramai 8.1 juta ahli atau 62 peratus daripada 13.1 juta ahli yang layak.

Perdana Menteri berkata, sebarang pengeluaran tambahan baharu sama ada secara bersasar ataupun terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini sudahpun berada dalam tahap yang amat membimbangkan.

Malah, katanya pengeluaran tambahan baharu KWSP boleh menyebabkan kekangan penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan.

“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun selepas pengeluaran berkenaan.

“Jumlah ini menyebabkan ahli memperolehi pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, mereka membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada empat kemudahan pengeluaran yang disediakan membabitkan jumlah pengeluaran keseluruhan bernilai RM145 bilion.

Beliau berkata, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian yang serius ketika negara kini sedang menginjak ke arah status negara tua kerana ia bakal memberi impak yang amat besar kepada negara dan rakyat, terutamanya dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup dan kesihatan.

Selain itu, pengeluaran tambahan baharu memerlukan KWSP untuk menyediakan aliran tunai bagi menampung jumlah pengeluaran yang besar itu.

“KWSP perlu mengambil langkah pengimbangan portfolio dengan mengambilkira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen berpendapatan tetap selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.

“Ia menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan berpandangan bahawa pengeluaran simpanan KWSP, sama ada secara terbuka atau bersasar bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada beban kewangan ahli yang semakin meningkat.

Sebaliknya, Anwar berkata, sistem perlindungan sosial perlu diperkukuhkan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai perlindungan apabila berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Katanya, sebagai satu institusi keselamatan sosial yang besar di negara ini, KWSP perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dalam membina dan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh dan mampan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Related posts

Leave a Comment