PUTRAJAYA 17 Feb. – Lebih 700 syarikat dari Jerman beroperasi di negara ini sejak beberapa tahun lamanya yang telah mewujudkan 65,000 peluang pekerjaan, kata Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.
Beliau berkata, ada ruang untuk lebih banyak syarikat Jerman mempelbagaikan operasi masing-masing dan Malaysia akan menjadi lokasi penting untuk syarikat negara itu.
“Kita tahu mengenai lokasi perniagaan dan komuniti perniagaan Jerman sudah bergerak ke arah kepelbagaian dalam pembuatan dan rangkaian penawaran,” katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, di sini, petang ini.
Steinmeier turut mengakui banyak peluang kerjasama antara Jerman dan Malaysia termasuk sektor vokasional yang perlu dipertingkatkan
Steinmeier dalam lawatan rasmi tiga hari di Malaysia, bermula di Pulau Pinang semalam dan berakhir di Sarawak esok.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan terus menjalin hubungan dua hala dengan negara lain termasuk Eropah dan China.
Anwar turut menyatakan hasrat syarikat minyak negara, Petronas untuk meluaskan eksport gas cecair asli (LNG) ke Jerman.
Pada masa sama, Anwar berkata, isu konflik Russia – Ukraine turut menjadi pokok perbincangannya dengan Steinmeier serta kesannya di rantau ini.
Steinmeier turut berikrar Jerman bersama-sama Malaysia mengecam tindakan Russia terhadap Ukraine yang jelas pelanggaran kepada undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu Anwar juga menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap sekatan minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU).
Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia tegas bahawa usaha untuk melindungi alam sekitar dan fokus terhadap tenaga boleh diperbaharui tidak seharusnya mengorbankan ekonomi negara.
Beliau yang sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Steinmeier kira-kira sejam, berkata kedua-dua pihak perlu melihat semula peraturan produk bebas penebangan hutan yang dikenakan EU ketika ini.
“Seperti yang kita ketahui, negara ini berdepan kesukaran dalam beberapa siri perbincangan dengan EU berikutan syarat berkenaan yang dikenakan terhadap kita,” katanya
Anwar berkata, perlu ada keadilan kepada negara dan negara serantau yang mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.
Beliau berkata, Malaysia sudah mengambil beberapa langkah untuk melindungi alam sekitar termasuk hutan gambut bagi membolehkan ladang sawit di negara ini boleh berfungsi secara ekonomik.
