“Yang Berhormat, macam mana zoo?”

KUALA LUMPUR 16 Feb. –  “Yang Berhormat, macam mana zoo?”. Itu soalan dikemukakan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor ketika beliau berkunjung ke restoran mamak semalam.

Berkongsi pengalamannya ketika ke sebuah restoran semalam, beliau memberitahu adewan Rakyat terdapat individu yang melabelkan persidangan Parlimen sebagai ‘zoo’.

“Semalam saya ke kedai mamak, ini berlaku, mereka mengenali saya (dan bertanya) YB, macam mana zoo? Saya terkejut.

“Inilah tanggapan masyarakat di luar sana. Jadi saya ingatkan, berpeganglah pada etika dan budi pekerti,” katanya selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru beliau mengingatkan ahli-ahli Parlimen agar sentiasa menjaga kelakuan dan etika bagi mengelak persepsi negatif berterusan masyarakat.

“Ingin saya ingatkan kepada adab semasa dalam dewan, saya ingatkan juga we are live (bersiaran langsung),” katanya.

Selain itu, Ramli turut menegur barisan ahli Parlimen yang mengadakan ‘mesyuarat kecil’ ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung dan mahu mereka memberi perhatian kepada perjalanan mesyuarat.

Katanya, mengikut Perkara 41 (e) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ketika seseorang ahli itu bercakap, semua ahli yang lain hendaklah diam dan tidak boleh mengganggu dengan cara kurang beradab.

Related posts

Leave a Comment