Azeez pertahan jawatan, Nurulhidayah rebut Exco Wanita

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim dan anak sulung Presiden UMNO,  Nurulhidayah Ahmad Zahid adalah antara individu yang mengemukakan borang pencalonan di Ibu Pejabat UMNO hari ini.

Abdul Azeez akan mempertahankan jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Baling manakala Nurulhidayah menawarkan diri untuk jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita Bahagian Bagan Datuk.

Turut menghantar borang pencalonan pada pemilihan UMNO kali ini adalah Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang disandang Zahida Zarik Khan.

Sementara itu, Abdul Azeez yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berharap dapat diberi peluang sekali lagi dalam pemilihan kali ini termasuk mempertahankan MKT yang disandang sejak 2008.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia itu berkata, keputusan PRU15 membawa manifestasi tersendiri kepada parti keramat ini untuk terus bangkit.

Sementara itu, Nurulhidayah berharap akan dapat bersama kepemimpinan parti khususnya Wanita untuk memperkukuhkan UMNO sebagai sebuah parti yang relevan sepanjang zaman untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya amat bersyukur dengan pengalaman dan peluang berkhidmat secara ‘underground’ bersama team NGO saya sejak tahun 2015 untuk bersama segenap lapisan umur telah membawa saya sejauh ini untuk menawarkan diri berkhidmat buat parti keramat UMNO ini,” katanya.

Bagi Nurul Hazwani pula, beliau menawarkan diri untuk bertanding dengan mempertaruhkan strategi 4S – Sinergi, Struktur, Simetri dan Stabil’ bagi mengukuhkan Pergerakan Puteri UMNO dalam arena politik negara.

“Kita tahu politik sentiasa berubah dan dinamik, kita perlukan perancangan yang teliti untuk menawarkan solusi kepada pergerakan puteri dan UMNO,” katanya.

Seorang lagi calon bagi jawatan Ketua Puteri, Fadwah Anuwar berkata, berikutan perubahan landskap politik negara, Puteri UMNO juga perlu melakukan suatu anjakan paradigma bagi memastikan kekal relevan.

“Asas kami perlu diperkukuhkan semula, berfikir diluar kotak dan keluar daripada zon selesa sesuai dengan kehendak semasa namun dalam masa yang sama utuh mempertahankan naratif perjuangan.

“Strategi perlu tepat pada sasaran. Dalam kata lain. Puteri UMNO harus mempunyai kelainan, berwajah baru dan berimpak tinggi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment