57 tawar diri bagi jawatan pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR 16 Feb. –  Selepas pendaftaran pemilihan UMNO dibuka mulai 13 Februari lalu, setakat ini, seramai 57 individu mengemukakan borang pencalonan bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Shahrir Samad,
57 calon yang mendaftar itu menawarkan diri untuk bertanding bagi 12 daripada 19 jawatan yang dipertandingkan.

“Bagi MKT seramai 18 calon sudah pun mendaftar diri untuk bertanding bagi empat jawatan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan jawatan-jawatan bagi 25 jawatan dalam MKT.

“Empat belas calon sudah berdaftar bagi Wanita UMNO, Pemuda 19 dan Puteri UMNO enam dan kesemuanya menjadi 39 calon bagi peringkat sayap dan jumlah kesemuanya seramai 57 calon,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Shahrir, bagi jawatan di peringkat MKT, seorang bagi Pengerusi Tetap, tiga calon bagi Timbalan Pengerusi tetap dan 14 bagi 25 jawatan di peringkat MKT.

Bagi Wanita pula setakat ini seorang calon Timbalan Pengerusi Tetap, seorang untuk Naib Ketua dan 12 lagi untuk mengisi 20 jawatan Exco Wanita UMNO.

Sementara bagi Pemuda, setakat ini seorang calon menawarkan diri bagi Pengerusi Tetap, seorang bagi Ketua Pemuda dan 17 calon bagi mengisi 20 jawatan di peringkat Exco Pemuda.

Tiga calon menawarkan diri bagi Ketua Pergerakan Puteri, seorang bagi Timbalan Pengerusi Tetap, dan dua calon bagi mengisi 20 jawatan dalam Exco Pergerakan Puteri.

Tarikh akhir pendaftaran calon adalah pada 26 Februari ini dan bagi Pemilihan UMNO 2023, borang boleh didapati di laman sesawang www.umno-online.my .

Bagi calon-calon di peringkat bahagian boleh mengemukakan kembali borang yang telah lengkap ke bahagian masing-masing manakala calon bagi peringkat pusat perlu menghantar borang ke Auditorium Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn.

Related posts

Leave a Comment