CEO letak jawatan susulan isu gender

PARIS – Susulan kontroversi berkaitan gender akhirnya mendorong Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mengendalikan Menara Eiffel, akan meletakkan jawatan pada penghujung tahun ini.

Patrick Branco Ruivo, sebelum itu terpalit dengan kontroversi melibatkan penggantian kakitangan wanita dengan pekerja lelaki semasa lawatan sebuah kumpulan keagamaan Hindu ke menara itu.

Siasatan dalaman Syarikat pengurusan Societe d’Exploitation de la Tour Eiffel (SETE) mendapati terdapat “kelemahan dan kekurangan dalam operasi” ketika menguruskan lawatan itu yang membawa kepada penyingkiran kakitangan wanita daripada tugas mereka dan digantikan dengan rakan sekerja lelaki.

Sebelum ini, SETE mengakui delegasi kira-kira 100 orang yang dikaitkan dengan kumpulan Bochasanwasi Akshar Purushottam Swaminarayan Sanstha (BAPS)

meminta lawatan itu diatur bagi mengehadkan interaksi dengan wanita dan menyatakan syarat tersebut tidak sepatutnya diterima.

Wakil kesatuan pekerja mendakwa beberapa kakitangan wanita diminta meninggalkan tempat kerja mereka, serta diarah mengelakkan atau tidak melalui kawasan tertentu sepanjang lawatan delegasi itu.

Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan kakitangan sehingga menyebabkan operasi Menara Eiffel tergendala akibat mogok, selain menerima kecaman daripada ahli politik Perancis.

Dalam pada itu, SETE akan melaksanakan langkah serta program latihan bagi memperkukuh kesaksamaan gender dalam organisasi menjelang proses peralihan kepemimpinan yang akan datang.

BAPS pula memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kesedihan yang timbul akibat insiden berkenaan dan menegaskan pertubuhan itu berpegang kepada nilai sejagat seperti saling menghormati dan berkhidmat kepada masyarakat.

Related posts

Leave a Comment