Halang, kawal eksport bukan import telur

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Isu bekalan telur terus menarik perhatian apabila wakil kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengimport telur dari India.

Dua Ahli Parlimen dari Johor menyentuh isu itu ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ketika perbahasan menegaskan import telur ayam dari India bukan penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan, sebaliknya menimbulkan isu diskriminasi kepada penternak tempatan.

Ia berikutan telur dari India yang bersaiz gred D dibenarkan dijual pada harga 50 sen sebiji di pasaran tempatan, sedangkan telur gred A, B dan C yang dikeluarkan pengusaha tempatan terpaksa dijual pada harga di bawah 50 sen.

Beliau mencadangkan kementerian mengikut cadangan persatuan penternak yang meminta kerajaan kembali kepada kaedah subsidi telur bagi menampung lonjakan kos operasi mereka, selain mengawal eksport telur ke luar negara.

“Di kawasan saya, ada lebih 100 ladang ayam. Ladang di kawasan saya hasilkan empat juta biji telur dan 800,000 biji boleh dijual kepada Singapura. Ertinya, kita ada keupayaan.

“Saya minta ambil pandangan persatuan. Biar mereka jual telur pada harga 50 sen sebiji, tetapi kerajaan tampung sedikit dengan subsidi dan harga diapungkan.

“Kerajaan juga boleh pilih untuk bantu keluarga B40 dengan khususnya subsidi sembilan sen atau 10 sen kepada keluarga B40 dan kalau RM200 boleh dapat lebih 2,000 telur untuk satu keluarga B40.

“Jadi kerajaan perlu pilih nak bantu penternak tempatan atau keluarga B40. Kita tak boleh benarkan telur dari India datang ke sini dan dijual pada harga 50 sen sebiji kerana kita mendiskriminasi petani tempatan,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula berpandangan kerajaan sepatutnya bertindak menghalang eksport telur ayam ke luar negara seperti dilakukan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu yakin pendekatan itu lebih sesuai kerana Malaysia selaku antara pengeksport utama telur ayam dunia, memiliki lebihan telur ayam untuk mengatasi isu kekurangan bekalan dan harga bahan makanan itu.

Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Pertanian, ketika timbul isu bekalan barang, kerajaan memanggil semua pembekal.

“Saya diberitahu Malaysia antara pengeskport telur terbesar di dunia, bermakna ada lebihan (telur ayam). Sewaktu kekurangan (telur) dalam negara, kenapa tak sekat bekalan eksport? Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) buat.

Ini supaya tidak ada telur yang mengalir (keluar) ke sana (luar negara) dan telur masuk ke dalam negara kita. Jadi harga boleh kekal, malah mungkin boleh dijual lebih murah lagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment