125 kes baharu di Singapura

SINGAPURA mengesahkan 125 kes lagi dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di republik itu sebanyak 45,423 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, 21 daripada kes baharu itu  adalah jangkitan dalam komuniti yang melibatkan empat rakyat tempatan atau pemastautin tetap, manakala 17 lagi pemegang pas kerja. Lima kes merupakan kontak rapat kes terdahulu dan telah dikuarantin.

Satu kes import turut dilaporkan dan pesakit sudah dikuarantin di rumah (SHN).

Setakat tengah hari semalam,  41,323 atau 92 peratus  pesakit telah pulih sepenuhnya manakala 215 kes masih dirawat dengan seorang di unit rawatan rapi. Jumlah kematian pula kekal 26.

INDONESIA mencatatkan kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam apabila 2,657 kes baharu dilaporkan sejak kes pertama pada 2 Mac lalu menjadikan jumlah terkumpul 70,736.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, sebanyak 58 lagi kematian dilaporkan yang membawa keseluruhan kes 3,417.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini (9 Julai 2020), sebanyak 13,732 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,125 kes, diikuti Jakarta (671 kes), Jawa Tengah (225), Kalimantan Selatan (209) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. Kes positif tertinggi pula di Jawa Timur iaitu 15,484 kes.

THAILAND melaporkan lima kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, semuanya melibatkan warganegara itu yang baru kembali dari luar negara menjadikan jumlah positif di negara itu kini menjangkau 3,202 kes.

Hari ini juga merupakan hari ke-45 Thailand sifar kes baharu tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, tiada kematian dilaporkan dalam tempoh yang sama, menjadikan jumlah kematian kekal 58.

Beliau memberitahu, empat daripada kes terbaru melibatkan pesakit berumur antara 38-54 tahun yang baru kembali dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) manakala satu lagi adalah pelajar berumur 22 tahun yang baru kembali dari Mesir.

Sehingga kini 3,085 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 59 lagi masih dirawat.

FILIPINA terus mencatatkan pertambahan kes Covid-19 apabila 1,395 lagi kes direkodkan sehingga pukul 4 petang ini, 9 Julai 2020. Kes berkenaan meliputi 1,184 kes terkini dan 211 kes lewat lapor.

Jabatan Kesihatan ( DOH) melaporkan jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 51,753 kes. Jumlah kematian pula  kekal 1,314 apabila tiada kes baharu.

Kes pemulihan pula sebanyak 225 yang membawa jumlah kes sembuh 12,813.

Related posts

Leave a Comment