HMM di kawasan gempa bumi Turkiye mula beroperasi

CELIKHAN : Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye yang diwujudkan bagi membantu mangsa gempa bumi di negara itu memulakan operasi dengan menerima pesakit seperti yang dijadualkan hari ini, Rabu.

HMM ini ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu 152 kilometer dari Gaziantep, kawasan paling terjejas akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Pasukan diketuai Pemerintah Op Starlight II, Brigedier Jeneral Datul Dr Amran Amir ini akan melaksanakan misi yang di jangkakan selama enam minggu dan akan dilanjutkan sekiranya perlu.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, HHM itu telah memulakan perkhidmatan dengan menerima pesakit pertama penghidap asthma.

Menurut MK AB, penduduk kampung berdekatan di Celikhan yang terdiri dari wanita telah melawat HMM untuk melihat lebih dekat cara pengoperasian dan menerima taklimat dari petugas HMM.

“Penubuhan HMM telah mendapat penghargaan dari penduduk tempatan yang terjejas warga bencana gempa bumi,” jelas hantaran itu.

Sebelum itu, walaupun berhadapan cuaca sejuk yang melampau sehingga mencecah paras minus 10 darjah, pasukan ATM gigih meneruskan kerja-kerja mendirikan HMM sejak tiba di Celikhan pada 12 Februari lalu.

Seramai 106 pegawai dan anggota dari Angkatan Tentera Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi mengoperasikan HMM, misi memberi bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Operasi yang dinamakan Op Starlight II dilancarkan pada 10 Februari 2023 dan penghantaran kumpulan petugas serta aset telah dilakukan melalui tiga fasa.

Related posts

Leave a Comment