DJ KJ hidupkan suasana pagi HotFM

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Bekas Menteri Kesihatan,Khairy Jamaluddin (KJ) Abu Bakar, berjaya menghidupkan suasana pagi ini sebagai penyampai radio atau DJ stesen radio HotFM.

KJ memulakan hari pertama sebagai DJ bermula daripada pukul 6 pagi hingga pukul 10 pagi dengan ditemani penyampai radio, Johan dan AG.

Sesi pengenalan hari ini dianggap berjaya berikutan ruangan ‘chat’ di saluran YouTube HotFM mencecah 10,000 komen malahan sambutan hangat pendengar menyebabkan saluran ‘streaming’ Hot FM mengalami gangguan seketika.

Topik yang dibincangkan hari ini lebih menjurus mengenai keperibadian dirinya yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan.

KJ berbicara tentang kisah beliau dalam dunia politik dan harapannya sebagai seorang pemimpin.

“Saya pun masih ada cita-cita politik, tak nak orang lupakan saya,”katanya ketika menjawab soalan mengapa beliau menyertai stesen radio, Hot FM sebagai penyampai radio baharu.

Khairy berkata, selepas kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen dan tiada kedudukan dalam kerajaan, beliau harus melakukan sesuatu sebagai punca pendapatan.

“Sebelum ini rutin pagi saya tidur. Lepas subuh, sambung tidur. Bukan murung pun, cuma sudah lama tidak berehat.

“Cuma bila tidak ada jawatan selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya ingatkan ada pencen, rupanya tiada. Kena tunggu usia 50 tahun, baru dapat.

“Sekarang saya 47, nak tunggu tiga tahun tanpa kerja. Tak boleh. Sebab itu juga saya sertai Hot FM. Gaji besar,”katanya.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, berkata sambutan sangat baik daripada pendengar terhadap kemunculan Khairy.

“Syukur sambutan diterima sangat baik sehingga ‘streaming’ kami alami gangguan seketika. Alhamdulillah, KJ sangat ‘sporting’ dan boleh ‘blend in’ (sebati) dengan Johan dan AG. Ia membuatkan mereka senang untuk berinteraksi dan dengar sangat bersahaja,” katanya.

Mengenai permintaan pendengar yang ingin melihat Khairy di konti secara ‘live’ di YouTube, Nazri berkata, buat masa ini, beliau masih dalam percubaan, termasuk ada perbincangan yang perlu dibuat.

“Buat masa ini, kami hanya fokus untuk ke udara (di radio). Insya-Allah, kami akan cuba usahakan untuk sentiasa memberi yang terbaik kepada pendengar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment