TBKLN kumpul RM50 juta sumbangan konglomorat

PUTRAJAYA 14 Feb –  Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) berjaya mengumpul RM50 juta sumbangan konglomerat, yayasan, serta NGO untuk mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Sumbangan disampaikan kepada Menteri Luar Negeri Dr Zambry Abd Kadir pada satu majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui catatan Facebooknya menyatakan rasa terharu apabila sumbangan itu berjaya dikumpulkan dalam notis yang amat singkat.

“Majlis tersebut berjaya mengumpul lebih daripada RM50 juta, dan ia akan disalurkan bagi tujuan meringankan beban mangsa-mangsa gempa bumi tersebut. Ini antara jumlah kutipan tertinggi pernah diterima oleh TBKLN,” katanya.

Menurut Anwar, bencana yang menimpa Turkiye dan Syria yang turut menerima tempias gempa tersebut adalah yang terparah sejak bencana tsunami yang melanda sebahagian negara di Asia Tenggara pada 2004.

Sumbangan terbesar diterima daripada Yayasan Albukhary berjumlah RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim Dewina Group (RM3 juta), YTL Corporation Bhd (RM2 juta).

Penyumbang lain termasuk Yasayan Simer Darby sebanyak RM1.5 juta, NGO India Muslim (RM1.5 juta), Tenaga Nasional Bhd (RM500,000), FGV Holdings Bhd ((RM500,000), Ranhill Holdings Bhd (RM300,000) dan Microlink Solution Bhd (RM100,000).

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, majlis sumbangan dana ini sepatutnya berlangsung esok namun, diawalkan kerana beliau akan berangkat ke Turkiye malam ini.

Beliau juga menjelaskan akan bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan melawat mangsa gempa di negara itu sebelum bertolak pulang ke Malaysia esok.

Related posts

Leave a Comment