KDN larang tiga penerbitan ‘mudarat moral’

KUALA LUMPUR 14 Feb. –  Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan larangan terhadap tiga penerbitan yang antara lain kandungannya berunsur lucah dan tidak bermoral serta mempromosi gaya hidup lesbian, gay, bioseksual dan transgender (LGBT).

Tiga penerbitan itu, masing-masing bertajuk ‘The Tale of Steven’ dikenakan perintah larangan melalui Warta Kerajaan PU (A) 24, ‘Jacob’s Room to Choose’ melalui Warta Kerajaan PU (A) 25 dan ‘Aku’ melalui Warta Kerajaan PU (A) 26.

KDN dalam kenyataan media memaklumkan, semua Warta Perintah Larangan itu bertarikh dan berkuat kuasa 20 Januari 2023, selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 7(1), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012).

Seksyen berkenaan menetapkan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilihan hasil penerbitan berkenaan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Menurut KDN, kerajaan komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan moral kalangan masyarakat kerana ia secara tidak langsung boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara.

Menurut KDN, ketiga-tiga penerbitan terbabit dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan moral.

Penerbitan bertajuk ‘Aku’ didapati secara jelas mempunyai kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang boleh memberi kesan buruk terhadap akhlak diri dan bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan masyarakat Malaysia.

“‘The Tale of Steven’ dan ‘Jacob’s Room to Choose’ pula didapati mempromosi gaya LGBT dan dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap nilai murni yang diajar agama serta didukung masyarakat Timur selama ini,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, mana-mana individu dilarang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa juga maksud seperti itu daripada tiga penerbitan berkenaan.

Mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012), mereka yang melanggar larangan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

KDN berharap, orang ramai yang mendapati penerbitan di atas atau mana-mana penerbitan dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di talian 03-88868047 atau Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman

Related posts

Leave a Comment