KKM batal jualan dua produk kosmetik

PUTRAJAYA 13 Feb. – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi untuk dua produk kosmetik iaitu Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream selepas ia dikesan mengandungi racun berjadual.

Berikutan tindakan pembatalan yang diambil Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi di KKM ke atas dua produk mengandungi merkuri itu, penjualannya tidak lagi dibenarkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peniaga hendaklah menghentikan penjualan dua produk kosmetik terbabit, manakala orang awam diminta tidak membeli atau menggunakannya.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau mengingatkan, penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang sudah dibatalkan notifikasi ini adalah salah kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya pula untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Bagi  menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik, pengguna boleh melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Related posts

Leave a Comment