Kerajaan belum putuskan benar guna ganja

BANGKOK: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan di Malaysia seperti yang berlaku di Thailand.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan hingga kini, kerajaan masih menunggu hasil dapatan kajian, termasuk cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

Perdana Menteri bagaimanapun mengaku setakat ini, belum ada sebarang perkembangan mengenai cadangan itu.

“Setakat ini, ia (cadangan itu) tidak dipandang secara serius. Kita akan menunggu dapatan serta cadangan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, kita menunggu (laporan) dari sudut kesihatan kerana ia (penggunaan marijuana) juga membabitkan aspek keselamatan,” katanya kepada media Malaysia selepas selesai melakukan lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Sebelum ini, KKM dilaporkan bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak industri dan ahli akademik bagi menjalankan kajian klinikal berkaitan penggunaan CBD atau ‘cannabidiol’ bagi tujuan perubatan.

Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, dipetik berkata kajian itu boleh diselaraskan dengan kerjasama antara Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dengan Clinical Research Malaysia (CRM).

Bagaimanapun hingga kini, kajian makmal terhadap ganja perubatan belum pernah dijalankan KKM.

Undang-undang negara ketika ini tidak akan menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan sekiranya mematuhi beberapa peraturan.

Undang-undang berkaitan adalah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Related posts

Leave a Comment