KUALA LUMPUR 10 Feb. – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Hasmuni Hassan mengetuai pasukan ‘Berani Bangkit’ yang menawarkan diri bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Pemuda serta pegawai lantikan lain.
Hasmuni yang mengumumkan akan bertanding mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dr Asyraf Wajdi Dusuki menamakan regunya, Ketua Pemuda UMNO Johor Hairi Mad Shah, sebagai calon Naib Ketua Pemuda.
Hairi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, dan Ketua Pemuda UMNO bahagian Johor Bahru.
Selain Hairi, Hasmuni turut mengumumkan ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh, akan dilantik sebagai setiausaha pergerakan itu, jika pasukannya menang dalam pemilihan kelak.
Manakala Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Moktar, diumumkan sebagai calon Bendahari dan Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohd Sollehin Tajie, sebagai calon Ketua Penerangan.
Pada sidang media petang tadi, Hasmuni berkata, pasukannya juga akan bertanding merebut 20 jawatan EXCO yang akan ditandingi calon berusia bawah 40 tahun.
“Sasaran pasukan sekiranya menerajui sayap Pemuda UMNO ialah untuk parti menang kembali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan menarik sokongan anak muda kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa, pasukan pemimpin pemuda yang diketuainya itu tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dalam UMNO, sekali gus menolak dakwaan kononnya mereka adalah kumpulan yang pro kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pasukannya membawa semangat untuk bangkit kembali selepas UMNO dan BN mengalami kekalahan pada PRU14 dan PRU15.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal membatalkan hasratnya sebelum ini yang mahu bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda dan memberi laluan kepada Hasmuni.
“Keputusan saya tidak jadi bertanding tidak dipujuk sesiapa sebaliknya dibuat atas semangat pasukan,” katanya.
Dengan penarikan diri Dr Muhamad Akmal, kini hanya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menawarkan diri bertanding merebut jawatan berkenaan.
