Kad Nusuk tingkat kecekapan operasi

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang diperkenalkan pada musim haji tahun ini sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Kad Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah dan mengurangkan individu mengerjakan haji secara haram.

Ia direka bentuk supaya mudah dibaca secara automatik dan memudahkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti jemaah, membantu menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki Tanah Suci, sekali gus dapat melindungi keselamatan jemaah.

Kementerian berkata kad itu dikeluarkan dalam format digital dan fizikal. Salinan cetakan kad itu akan dihantar kepada jemaah haji atau pengendali haji masing-masing.

Salinan digital itu boleh didapati melalui akaun jemaah haji di aplikasi Nusuk dan Tawakkalna.

Kementerian menyatakan jemaah haji mesti mengimbas kod QR pada kad yang dicetak dan kemudian mengikut arahan yang diberikan bagi mendapatkan versi digital kad itu.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh kad itu kepada jemaah haji dan paling penting ia berfungsi untuk membuktikan identiti jemaah haji di hadapan pihak berkuasa kerana ia turut memaparkan maklumat penting seperti data peribadi, alamat serta rekod kesihatan jemaah, yang dipautkan kepada aplikasi telefon pintar.

Kementerian menggesa jemaah yang datang dari dalam mahupun luar Arab Saudi untuk mendapatkan kad berkenaan sebelum tiba di Tanah Suci.

Jemaah haji asing dan domestik diwajibkan membawa kad itu ketika perjalanan dan pergerakan sepanjang tempoh haji bermula dari ketibaan sehingga pulang ke negara masing-masing.

Kementerian itu menekankan kad itu wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk pergerakan mereka antara Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Di samping itu, kad berkenaan juga mengandungi butiran mengenai pengendali haji masing-masing dan cara berkomunikasi dengannya, selain mengetahui jadual kumpulan jemaah dan alamat kediaman.

Kementerian menyatakan jemaah haji juga boleh menerima makluman khas, selain penilaian perkhidmatan yang disediakan dan menyalurkan aduan mereka melalui kad digital.

Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini memberi amaran kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah haji untuk tidak terjebak dalam perangkap promosi haji dan penyedia perkhidmatan haji palsu.

Ia menggesa jemaah haji untuk memohon haji hanya melalui agensi dan saluran rasmi.

Sementara itu, Liga Muslim Dunia (MWL) menghargai kenyataan dikeluarkan Majlis Ulama Kanan Saudi yang mengulangi bahawa tidak dibenarkan mengerjakan haji tanpa permit.

Setiausaha Agung MWL yang juga Pengerusi Persatuan Ulama Islam, Sheikh Dr Muhammad Al-Issa, berkata kenyataan majlis itu mewujudkan asas undang-undang untuk menangani tingkah laku yang tidak diingini oleh sesetengah jemaah sehingga menyebabkan kemudaratan kepada jemaah haji yang sah.

Note : Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq Al-Rabiah menyerahkan kad Nusuk kepada Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas di Jakarta pada Selasa.

Related posts

Leave a Comment