Dari YB KJ kepada YB DJ KJ

Dari YB KJ kepada YB DJ KJ
KUALA LUMPUR 9 Feb. –  Jika sebelum ini YB KJ (Yang Berhormat) Menteri, mulai 15 Februari ini, Khairy Jamaluddin akan bergelar DJ YB (Yang Bercakap) apabila bekas Menteri Kesihatan itu memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM.

Media Prima Audio (MPA) dalam kenyataannya mengesahkan Khairy atau lebih mesra dipanggil KJ akan mengendalikan segmen Bekpes yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

Kenyataan MPA menyebut, minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, 6 pagi hingga 10 pagi.

Selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, MPA berharap kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot dapat memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan.

Nazri berkata, pelantikan Khairy diharap memberi impak lebih baik kepada Hot FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kandungan Hot FM, Shah Hayatudin berkata, stesen radio itu sedang berbincang dengan Khairy untuk menampilkan pengisian hebat buat pendengar setia Hot FM dan pengikut beliau.

“Khairy ada idea untuk mewarnakan lagi segmen Bekpes Hot. Jadi, pendengar perlu nantikan kemunculan beliau bersama Johan, Fara Fauzana dan AG mulai 15 Februari ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment