Nazri Aziz Duta Besar Malaysia ke AS

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013-2018), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas menerima watikan pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Sembilan lagi Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia turut menerima watikan pelantikan masing-masing.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Nazri yang juga graduan Lincoln’s Inn di United Kingdom dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Beliau juga berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013).

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain Nazri, turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dan Duta Besar Malaysia ke Republik Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Holy See, Hendy Anak Assan; Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah; Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Corina Anak Peter Tiwet dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.

Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek, Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait ‘Alauddin Mohd Nor.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Related posts

Leave a Comment