Bersatu harap SPRM telus, mohon batal beku akaun

KUALA LUMPUR 2 Feb. –  Pengerusi Bersatu,  Muhyiddin Yassin berharap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas parti itu dilakukan secara profesional, telus dan tidak bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perukatan Nasional (PN) berkata, sekiranya bermotifkan politik, ia satu tindakan seolah-olah mensabotaj PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

“Ada orang kata motif politik, jika langkah ini diambil tentu menghalang apa sahaja aktiviti kita dalam pilihan raya membantu rakan-rakan PN dan sebagainya.

“Saya percaya SPRM akan jalankan siasatan telus, saya beri jaminan Bersatu akan beri kerjasama penuhnya untuk SPRM melengkapkan siasatan,” katanya yang juga Pengerusi PN.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Berikutan pembekuan akaun untuk tempoh tiga bulan, Bersatu juga menghantar surat kepada SPRM bagi memohon pembatalan pembekuan berkenaan semasa proses siasatan dibuat bagi membolehkan pengurusan parti.

“Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa. Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji nak maintain pejabat dan sebagainya. Ia memberi kesan kelicinan pengurusan parti,”  katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin memberi jaminan parti itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan dua akaun Bersatu.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

Muhyiddin menegaskan Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM92.5 bilion seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya ingin menegaskan dasar Bersatu menetapkan setiap sumbangan dimasukkan dalam akaun parti dan tidak dimasukkan dalam akaun peribadi saya atau mana-mana pegawai parti atau mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan.

“Ini termasuk jika saya ada kepentingan, ..ada yayasan yang saya taja dan sebagainya dan saya tahu SPRM sudah menyiasat kepada mana-mana organisasi seperti itu termasuk Bahagian BERSATU Pagoh,” katanya.

Beliau menjelaskan pembatalan pembekuan itu juga penting bagi membolehkan penyata kewangan parti itu dapat dibentangkan pada Perhimpunan Agung Bersatu pada Mac nanti.

“Memandangkan dokumen berkaitan sudah diambil maka ini merumitkan juru audit kita nak buat pengauditan untuk laporan kewangan parti bagi 2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment