PUTRAJAYA 1 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini semalam meningkat kepada 251 kes berbanding 198 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 5,036,593.
Menurut data portal KKMNow, setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,997,977 manakala kes import pula 38,616.
Tiada kematian baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kekal 36,942 orang termasuk 7,870 kes meninggal dunia di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Selasa meningkat kepada 9,790 pertambahan 251 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,374 kes atau 95.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 400 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 15 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan sembilan pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, tiada pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih kekal 4,989,861 orang.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan kes harian tertinggi iaitu 86 kes.
