Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang sah

PUTRAJAYA 3 Ogos – Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.

DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan,  Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal,  Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika membacakan keputusan  sebulat suara itu, Tengku Maimun berkata peguam perayu telah berhujah bahawa undang-undang tidak boleh menjejaskan hak mereka untuk berpersatuan seperti dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan dalam hal ini, pergantungan ketara diletakkan ke atas keputusan Mahkamah Agung dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & satu lagi melawan Nordin Salleh & satu lagi.

Beliau berkata bagaimanapun, peguam responden pula berhujah enakmen Perkara 14A adalah bagi menangani isu berkaitan kelayakan keahlian DUN iaitu perkara yang dibincang dalam Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan dan setiap DUN diberi kuasa untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing untuk menangani isu tersebut.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata keupayaan seorang ADUN menukar keahlian parti politik atas apa jua alasan, tidak termasuk dalam hak peribadi seorang warganegara untuk berpersatuan sebagaimana yang dibayangkan dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment