Mohamad Sabu kini Datuk Seri

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, 69 mengetuai senarai penerima darjah kebesaran sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Presiden Amanah itu menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri dari Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, enam lagi penerima SMW yang merupakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriyah Arab Bersatu Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Dr Eng Wei Chun dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Lawrence Yeo Chua Poh.

Sementara itu, 15 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri Datuk Toisin Gantor; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Turut dikurniakan PMW ialah Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Muhammad Azmi Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd Datuk Md Shah Mahmood; Presiden UMW Toyota Motor Datuk K. Ravindran dan Presiden UDA Holdings Sdn Bhd Datuk Sr Mohd Salem Kailany.

Beberapa ahli sukan turut menerima PMW sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Lim Teong Kim; bekas ratu boling negara Datuk Shalin Zulkifli; atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P. Arivalagan.

Pada istiadat hari ini, 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

(Foto FB Istana Negara)

Related posts

Leave a Comment