Makan Besar tidak lebih 15 orang

PUTRAJAYA 7 Feb. – Selepas didakwa ada ‘kesilapan’ berhubung prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baharu Cina, kerajaan hari ini ‘memperbaiki’ beberapa perkara berkaitan.

Bagi acara Makan Besar Keluarga, kerajaan bersetuju membenarkan ahli keluarga terdekat dari kediaman lain menyertai acara itu sempena Tahun Baharu Cina pada 11 Februari dengan syarat bilangan mereka tidak melebihi 15 orang.

Kebenaran itu bagaimanapun hanya membabitkan mereka yang tinggal dalam lingkungan radius 10 kilometer, tanpa rentas daerah dan negeri.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara, berkata Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob bersetuju meluluskan SOP Sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik, hari ini.

Kata kenyataan itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari tertakluk kepada SOP ketat seperti berikut:

  • Bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
  • Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.
  • Jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul  6 pagi hingga 2 petang sahaja.
  • Aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi “Hokkien Clan”.
  • Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut, Pegawai Pemantau yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Sementara itu dalam kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique, menyeru masyarakat Cina di Malaysia mematuhi SOP ketika menyambut perayaan dalam norma baharu tahun ini.

“Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, jaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment