Sekatan perjalanan Pakistan 9 hari

ISLAMABAD 9 Mei – Pakistan mengenakan sekatan perjalanan selama sembilan hari mulai 8 Mei yang merangkumi tempat-tempat pelancongan dalam usaha untuk membendung lonjakan kes Covid-19 semasa musim cuti Aidilfitri.

Pemerintah mengenakan sekatan yang paling ketat sejak penutupan selama sebulan pada April tahun lalu bagi mendepani gelombang ketiga penularan Covid-19 dan kebimbangan memuncak terhadap krisis di negara jiran India.

Aidilfitri lazimnya melihat sejumlah besar penduduk di seluruh negara bergerak dan membanjiri tempat-tempat pelancongan dalam negeri.

Tahun lalu negara itu mengalami lonjakan kes beberapa minggu selepas Aidilfitri.

Kali ini perniagaan, hotel dan restoran serta pasar dan taman akan ditutup, sementara pengangkutan awam antara wilayah dan dalam bandar digantung.

Tentera juga dikerahkan untuk memantau sekatan tersebut.

Bagaimanapun masjid yang selalu padat setiap malam sepanjang Ramadan – hanya segelintir jemaah yang memakai pelitup – akan tetap dibuka.

Pihak berkuasa bimbang kekangan ke atas tempat ibadah akan mencetuskan konfrontasi di republik Islam yang sangat konservatif itu.

Pakistan mencatatkan lebih 850,000 jangkitan dan 18,600 kematian, tetapi dengan ujian terhad dan sektor penjagaan kesihatan yang porak peranda, ramai bimbang bahawa tahap sebenar penularan itu adalah jauh lebih teruk.

Related posts

Leave a Comment